Wednesday, December 8, 2010

Syahdunya

Berjalan dan terus berjalan. Sedih ku rasa di pagi ini di saat membaca blog doa buat Alanna. Bayangkan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anak yang amat dikasihinya. Bagaimana kalau Nuh yang saya peluk cium setiap hari itu tiada di sisi saya. Alangkah sunyinya kehidupan saya. Gelak tawa dan senyum tangisnya membuatkan saya sentiasa merinduinya walaupun di mana saya berada. Benar anak itu harta yang paling bernilai. Tapi nilai itu bukan sekadar mencurahkan kasih sayang sahaja tetapi lebih dari itu. Seringkali apabila berbicara soal anak sudah pasti kita mahukan yang terbaik. Tetapi adakah kita sudah bersedia untuk menjadi yang terbaik untuknya.


Kembali kepada persoalan memberikan kasih sayang. Terlintas kembali perbualan antara saya dengan seorang rakan tentang kerisauan dirinya tentang anak-anak masa kini. 
"Risau hati akak bila baca dalam paper ni. Macam-macam yang berlaku. Gejala sosial dan keruntuhan akhlak merata-rata. Ish..susah rasanya nak bendung benda camni. Macam mana la anak-anak kita nanti.."


Nah..itulah rasa gelisah hati seorang ibu dalam membesarkan anak-anak. Sepertimana firman Allah


"Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu adalah fitnah dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar."(Al-Anfal: 28)


Fitnah yang disebut dalam ayat ini merujuk kepada cubaan atau dugaan dan menjauhkan kita dari melakukan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Jujur saya katakan bahawa ia merupakan satu tanggungjawab yang amat berat kerana ia bukan sahaja melibatkan kasih sayang tetapi pengawasan, contoh model terbaik kepada anak-anak, tanggungjawab, disiplin dan lebih dari itu.


"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi". (Al-Munafiqun: 9). 


Jauh di sudut hati saya amat merasa gelisah. Benar kadang-kadang sebagai seorang ibu kita akan terlalu asyik dengan anak-anak. Mengulit dan memanjakan mereka sehingga kadnag-kadang alpa tentang tanggungjawab kepada Nya. saya ambil contoh apa yang berlaku kepada diri saya. Bukan berniat membuka pekung di dada tetapi sebagai pengajaran kepada saya dan juga yang lain.


Rutin harian saya setiap hari apabila pulang kerja adalah mengambil Nuh dari rumah Opah (pengasuh). Ini kerana saya dan En. Hubby ke tempat kerja secara berasingan dan Nuh dihantar olehnya setiap pagi kecuali kes-kes terpencil baru saya akan mengambil alih tugas tersebut. Kebiasaan Nuh setelah pulang dari rumah Opah bergayut dengan saya. Maklumlah setelah seharian ditinggalkan. Ingin melepaskan kerinduannya. Jadi saya akan beri Nuh minum susu dan makan seterusnya aktiviti paling menyeronokkan tidur. Apa yang menjadi masalah ialah kadang-kadang Nuh memerlukan masa yang panjang untuk mengulit dengan saya dan ini menyebabkan waktu maghrib saya menjadi semakin pendek. Untuk meninggalkan Nuh saya menjadi risau kerana dia sedang menyusu dan akan menangis berpanjangan apabila ditinggalkan. Perasaan belas dan kasihan bersatu menjadi satu. Akhirnya solat Maghrib saya hampir-hampir sahaja ke penghujung waktu. 


Astaghfirullah..itu yang mampu saya ucapkan. Beristighfar dan terus memohon keampunanNYA. Walaupun keadaaan ini bukan selalu terjadi tetapi ia membuka ruang dan peluang kepada musuh kita yang sentiasa menunggu saat-saat untuk menjauhkan kita dari melakukan yang terbaik kepada Allah. Jadi bagaimana yang harus kita lakukan. Perasaan serba salah sering menguasai diri apabila ia melibatkan anak-anak. 


Untuk itu, saya mengambil pendekatan untuk menjadikan ia suatu bentuk proses pendidikan dan pentarbiyahan kepada Nuh Shaddad. Apa yang saya lakukan ialah saya letakkan Nuh di sisi saya. Sebelum saya solat saya ucapkan padanya "Umi nak solat. Allahu akbar..." Berulang-ulang kali saya sebutkan perkataan tersebut dan ia saya praktikkan hampir setiap kali saya ingin menunaikan solat. Selain itu, saya juga hamparkan sehelai sejadah lain disisi dan letakkan barang-barang yang boleh menarik perhatian Nuh. Saya terpaksa letakkan barang tersebut untuk elakkan Nuh dari menangis kerana merasakan dirinya tidak dihiraukan dan diendahkan. Namun yang pasti Nuh lebih leka memerhatikan setiap tindak tanduk dan perlakuan saya ketika menunaikan solat.  Mungkin timbul rasa pelik dan hairan melihatkan umminya sedang solat dan tidak menghiraukan bunyi-bunyi yang dikeluarkan untuk menarik perhatian saya. 


Sukanya Nuh bila abi angkat dia lepas solat

Doa saya semoga anak itu kelak akan menjadi anak yang soleh dan hamba yang taat kepada Penciptanya. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis Aisyah r.a:


"Sungguh mereka (anak-anak) dapat menjadikan seseorang kikir dan pengecut, dan mereka juga adalah termasuk dari haruman Allah swt"


Peliharalah anak kita kerana mereka itu umpama kain putih yang akan mencorakkannya adalah kita. Mari kita renungkan bersama.

Tuesday, November 30, 2010

KISAH HATI...



Gambaran rupa hati saya saat ini dapat digambarkan dengan rupa imej hati yang saya letakkan. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan kesedihan hati saya. Rasa remuk redam..Betul ke bahasa yang saya gunakan..Tak dapat saya berfikir lagi. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa yang sangat menyedihkan itu. Selama lebih 10 bulan Nuh Shaddad dengan susu saya sepenuhnya. Tapi sejak akhir-akhir ini prestasi susu saya agak merudum. Saya pula amat sibuk sehingga kadang-kadang saya tidak dapat melakukan aktiviti mengepam seperti biasa. Rutin kerja saya juga berubah selepas raya puasa. Saya terpaksa ke luar daerah hampir setiap minggu sehingga kadang-kadang terpaksa menggunakan stok susu yang. Akhirnya saya terpaksa terima hakikat stok susu saya semakin berkurangan. Saya menjadi terlalu sedih memikirkan bagaimana harus saya tinggalkan Nuh selepas ini kerana saya terpaksa ke luar daerah hampir lebih dua minggu berturut-turut lamanya dengan keadaaan stok yang amat sedikit. Lebih-lebih lagi pengasuh anak saya mengatakan bahawa Nuh semakin kurang minum susu ebm yang diberikan. Nuh lebih gemarkan susu yang diperah setiap hari  untuk diberikan kepadanya semasa ditinggalkan bersama pengasuh.

Dalam keterpaksaan dan keadaaan yang mendesak itu, saya gagahkan juga diri ke pasar raya berdekatan untuk mendapatkan susu formula untuk diberikan kepada Nuh. Peningnya kepala saya memilih susu yang bersesuaian untuk diberikan kepada Nuh. Walaupun saya ada pengalaman dalam menjaga anak-anak saudara dan jenis susu yang perlu diberikan, tapi bila perkara yang sama berlaku pada Nuh saya menjadi keliru. Saya jadi amat tertekan dan sukar membuat pilihan kerana selama ini Nuh hanya menyusu susu saya sepenuhnya lebih-lebih lagi Nuh juga tergolong dalam kategori bayi yang mempunyai alahan (ekzema). 

Ya Allah, bantulah hambamu ini. Permudahkanlah segala urusanku. Sukarnya saya untuk membuat keputusan. Ya, mungkin bagi sesetengah orang perkara tersebut bukanlah merupakan isu yang besar tetapi tidak bagi saya. Keputusan ini adalah keputusan yang amat penting dalam hidup saya. Saya terpaksa mencuba susu yang sedia ada di pasaran untuk disesuaikan dengan keadaan Nuh dan saya memilih susu Dumex Dulac. Sekiranya susu tersebut tidak serasi, saya nak cuba pula susu NAN Hypoelergenik yang dikatakan sesuai untuk bayi yang mempunyai alahan. Tapi saya belum tengok rupa susu tersebut lagi. Sebenarnya ada banyak pilihan susu  dan macam-macam pandangan yang saya dapati dari forum atau blog yang dilawati. Tapi saya tak tahu pilihan yang manakah yang terbaik untuk anak saya.

                                                               

                                                     
           
Walau apapun saya tetap berhasrat untuk menyusukan Nuh dengan susu saya sekalipun terpaksa melalui proses relaktasi yang pada sesetengah orang amat sukar. Saya kini masih meneruskan penyusuan susu badan kepada Nuh selepas pulang dari kerja. Kesedihan saya amat sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata mahupun perkataan. Nuh kini sedang melalui proses percubaan yang masuk hari kedua di saat saya sedang menulis ini...:(

Monday, November 29, 2010

PERUBAHAN ITU...

Salam semua.Apa khabar? Doa saya moga semua di luar sana sihat dan berada di bawah lembayung rahmatNYA. Puasa yang dilalui sebulan lalu amat berharga dan telahpun  meninggalkan kita. Ramai yang seronok ditinggalkannya sebab kata mereka tidak perlu berlapar dan dahaga.Tapi ramai juga yang bersedih memikirkan adakah sepanjang bulan tersebut berapa banyak amalan yang telah dilaksanakan. Bagi saya, ditinggalkannya membuatkan saya berfikir panjang.Dalam ertikata lain, saya sentiasa berfikir adakah saya telah melakukan yang terbaik? Adakah saya akan ketemu lagi Ramdhan ini di lain tahun? Adakah Ramadhan kali ini memberikan banyak perubahan dalam diri saya. Sungguh semua itu membuatkan saya amat merasa dukacita dan sedih.

Saya melalui Ramadhan kali ini dengan si comel kecil Nuh Shaddad. Ikhlas saya katakan banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya sepanjang Ramadhan ini. Saya ingin sekali memasak sepanjang bulan Ramadhan untuk suami tercinta tetapi akur bahawa ianya hanya berlaku dalam tempoh kurang dari 2 minggu. Alasannya Nuh Shaddad tidak mahu berenggang dengan saya. Bahkan juga turut tidak mahu ditinggalkan. Walaupun saya letakkan dia di dalam "walker" tetapi dia lebih senang berada di dalam dukungan saya. Mahu tidak mahu saya terpaksa juga mendukungnya kerana dia akan menangis sehingga tidak kedengaran suara selagi saya tidak mengangkat dan mendukungnya. Jadi adakah Nuh Shaddad harus dipersalahkan dalam hal saya tidak memasak? Jawapan paling pantas boleh diberikan "YA". Tetapi apabila saya fikir dan kenangkan semula, Nuh tidak seharusnya dipersalahkan kerana dia merupakan seorang bayi yang sedang membesar dan memerlukan perhatian. Lebih-lebih lagi Nuh merupakan anak yang menyusu susu saya sepenuhnya. Maka saya merasakan sayalah yang harus lebih efektif dan teratur.




Untuk mengaitkan tajuk saya dengan cerita yang saya tulis ini :D saya dengan senang hati menyatakan bahawa saya sedang menuju ke arah perubahan yang dimaksudkan. Berubah menjadi seorang yang lebih efektif dan teratur. Bagaimana saya mencapai misi menjadi seorang WAHM @ Working At Home Mom sekiranya saya tidak mula mendisiplinkan diri dengan masa yang ada.24 jam sangat pendek jika dibandingkan dengan kerja yang begitu banyak.Tetapi saya harus pandai mengaturnya. Alangkah berbahagianya menjadi seorang ibu yang dapat melihat anak-anaknya membesar di depan mata. Saya sangat bahagia sambil mata berkelip-kelip membaca coretan ibu-ibu yang berjaya membesarkan anak-anaknya tanpa perlu risau tentang keadaan anak di rumah pengasuh atau taska. Namun dalam masa yang sama masih boleh terus bekerja dan menambah pendapatan di samping membantu suami. Wah..wah..seronok kan apabila kita juga dapat menjadi ibu yang begitu. Sudah ramai wanita-wanita di luar sana yang menjadi ikon dan model yang boleh dicontohi.Saat saya menulis coretan ini sudah tergambar di ruang layar di hadapan komputer saya ini wajah Nuh Shaddad yang sangat gembira berkepit bersama UMInya di rumah.Moga-moga impian saya ini akan tercapai.Doakan ye sahabat semua.

Nuh tidur selepas menangis

Bersenikah Anda??

Salam semua,

Keliru dengan tajuk 'posting' saya? Sebenarnya saya nak bercerita tentang bahan-bahan kraf dan jahitan yang telah saya baru beli. Ada yang saya dapatkan dari kedai dan ada yang saya perolehi melalui laman sesawang...Antara bahan-bahan kraf dan jahitan tersebut ;

Kain Felt pu3craft.blogspot.com

                                                                     credit to google

Saya tak sempat nak tangkap gambar kain felt tu. Jadi saya ambil dari google dan warna yang saya ada lebih kurang yang ada dalam gambar tu. Dan ada juga warna-warna yang lain yang sangat la cantik..:)


- Kain wool juga dari pu3craft.blogspot.com


- Kain flanel saya dapatkan dari Nagoya

- Kain satin untuk baju raya Nuh Shaddad juga dari Nagoya

- Kain kapas untuk baju kurung saya.. Mana lagi kalau tidak Nagoya

- Hehehe..dan saya juga dapat kit jahitan, minyak mesin jahit serta benang dari kedai LSN di mana saya beli mesin jahit.

- Kit jahitan

- Mesin minyak jahit jenama 'Singer'

- Benang untuk jahit tepi

Banyak kan barang-barang tu. Kalau nak tahu ada lagi yang saya beli tak nak tulis semuanya memang tak sempat la...

AKHIRNYA...

Salam semua,

Hari ini saya nak bercerita tentang aktiviti saya berkain lampin moden..yang sebenarnya kalau sebut cloth diaper (CD) orang lebih cepat tangkap dan faham. Dah lama saya survey dan cari tentang kain lampin ni. Memang sesuatu yang amat mengujakan apabila kita dapat beri yang terbaik kepada anak di samping menjaga alam sekitar. Sebenarnya saya sudah lama ada kesedaran tentang menjaga alam sekitar nih..Huhuhu.Sejak di sekolah menengah lagi cuma apabila hendak mempraktikkan tu ambil masa sedikit.Hehehe. Saya amatlah berharap dapat menyakinkan En. Suami bahawa CD ini amatlah bagus dan sesuai untuk si comel Nuh Shaddad. Dan akhirnya saya berjaya menyakinkan suami tersayang untuk membelinya masa "expo motherhood" di Midvalley bulan Ogos yang lepas. Saya beli pakej 10 set - 5 AIO (all in one) snap button, 3 OS (one size) snap button dan 2 OS velcro yang kedua-duanya saya beli bersama-sama 2 insert setiap satu. Maka saya telah mempunya 5 OS dan 10 insert. Saya memilih untuk memakaikan si comel itu jenama Lunatot buat permulaannya. Pertamanya Acik Su adalah sahabat lama saya. Bukan sebab nak dapat harga murah..hehehe. Sebab acik Su tetap jual  harga yang sama dengan orang lain..Huhuhu tapi sebab saya rasa selesa dan mudah. I.Allah lepas ni saya akan cuba membeli dari yang lain pula. Saya dah mula ketagih nak membeli CD ni. Tambahan pula saya tengok ada macam-macam jenama yang bagus dengan harga yang berpatutan serta kualiti yang tidak kurang eloknya. Inilah rupa CD saya...




Tapi kalau tengok yang ini memang mengancam...


Cantik kan..saya memang suka warna ni. Dan saya dah ada pun....sukanya saya.

Thursday, August 12, 2010

Pertamanya...


Salam semua...

Permulaan Ramadhan ini merupakan permulaan yang terbaik untuk saya. Ini kerana saya telah lama bercita-cita untuk mengembangkan lagi bakat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Al kisahnya bakat yang saya ada ini tidaklah seberapa tetapi mungkin berguna pada saya dan anda di kemudian hari. Lama sudah saya berkeinginan untuk memiliki sebuah mesin jahit. Semuanya bermula sebelum saya berkahwin lagi. Tapi sudah menjadi adat, zaman menjadi 'student' seringkali kekeringan. Oleh yang demikian, sudah pasti keinginan dan kehendak itu terkubur tetapi tidak mati. Cumanya yang ada hanyalah sebuah impian yang tidak pasti masih boleh digapai atau tidak. Melangkah ke alam kerjaya membuatkan saya berhasrat untuk memenuhi setiap kehendak saya yang tidak kesampaian. Tapi siapa kita untuk menghalang kuasaNYA. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah adalah sebaik-baik perancangan. Namun saya amat yakin dan pasti, minta dan mohonlah akan tetap dipenuhiNYA. Cara dan bagaimana pemberian tersebut, hanya DIA lah yang mengetahui.

Maka, beberapa bulan sebelum bermulanya Ramadhan ini, hasrat untuk memiliki mesin jahit menjadi sangatlah berkobar-kobar. Permulaannya hanya untuk menghadiri kursus jahitan. Mempunyai sahabat yang sangat bercita-cita membuatkan saya terfikir, mengapa tidak saya pun begitu. Semangatnya dan keazamannya membuatkan saya terus beralih kepada membeli mesin jahit. Mengapa saya berubah fikiran? Ya, sebetulnya saya tidak pasti antara keperluan dan kehendak. Tetapi atas dasar minat yang ada disamping berfikir pada suatu ketika mungkin ia menjadi bahan yang sangat penting maka saya mulakan pencarian saya. Pelbagai maklumat saya dapat sama ada melalui laman sesawang mahupun 'in-person'. Saya mula mencari model terbaik yang bersesuaian dengan modal yang saya. Pencarian saya tidak keseorangan. Pandangan suami tercinta serta rakan-rakan saya perolehi. Setelah berbincang dengan Encik Suami maka saya membuat keputusan membeli sebuah mesin berjenama "Brother". Sungguhpun ketika pilihan-pilihan dibuat, mesin jenama epal model "janome 2049" menjadi keutamaan, Tetapi saya akur...



 Ini rupa mesin jahit epal model "Janome 2049". Harga memang boleh tahan. Ribu-ribu juga la.Tapi fungsi yang pelbagai ditawarkan bersama dengan pakej kelas jahitan memang sangat menawan hati. Walaupun begitu, saya terpaksa memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik. Hehehe..jadi..jumpa anda dalam projek jahitan saya yang akan datang.