Thursday, August 12, 2010

Pertamanya...


Salam semua...

Permulaan Ramadhan ini merupakan permulaan yang terbaik untuk saya. Ini kerana saya telah lama bercita-cita untuk mengembangkan lagi bakat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Al kisahnya bakat yang saya ada ini tidaklah seberapa tetapi mungkin berguna pada saya dan anda di kemudian hari. Lama sudah saya berkeinginan untuk memiliki sebuah mesin jahit. Semuanya bermula sebelum saya berkahwin lagi. Tapi sudah menjadi adat, zaman menjadi 'student' seringkali kekeringan. Oleh yang demikian, sudah pasti keinginan dan kehendak itu terkubur tetapi tidak mati. Cumanya yang ada hanyalah sebuah impian yang tidak pasti masih boleh digapai atau tidak. Melangkah ke alam kerjaya membuatkan saya berhasrat untuk memenuhi setiap kehendak saya yang tidak kesampaian. Tapi siapa kita untuk menghalang kuasaNYA. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah adalah sebaik-baik perancangan. Namun saya amat yakin dan pasti, minta dan mohonlah akan tetap dipenuhiNYA. Cara dan bagaimana pemberian tersebut, hanya DIA lah yang mengetahui.

Maka, beberapa bulan sebelum bermulanya Ramadhan ini, hasrat untuk memiliki mesin jahit menjadi sangatlah berkobar-kobar. Permulaannya hanya untuk menghadiri kursus jahitan. Mempunyai sahabat yang sangat bercita-cita membuatkan saya terfikir, mengapa tidak saya pun begitu. Semangatnya dan keazamannya membuatkan saya terus beralih kepada membeli mesin jahit. Mengapa saya berubah fikiran? Ya, sebetulnya saya tidak pasti antara keperluan dan kehendak. Tetapi atas dasar minat yang ada disamping berfikir pada suatu ketika mungkin ia menjadi bahan yang sangat penting maka saya mulakan pencarian saya. Pelbagai maklumat saya dapat sama ada melalui laman sesawang mahupun 'in-person'. Saya mula mencari model terbaik yang bersesuaian dengan modal yang saya. Pencarian saya tidak keseorangan. Pandangan suami tercinta serta rakan-rakan saya perolehi. Setelah berbincang dengan Encik Suami maka saya membuat keputusan membeli sebuah mesin berjenama "Brother". Sungguhpun ketika pilihan-pilihan dibuat, mesin jenama epal model "janome 2049" menjadi keutamaan, Tetapi saya akur...



 Ini rupa mesin jahit epal model "Janome 2049". Harga memang boleh tahan. Ribu-ribu juga la.Tapi fungsi yang pelbagai ditawarkan bersama dengan pakej kelas jahitan memang sangat menawan hati. Walaupun begitu, saya terpaksa memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik. Hehehe..jadi..jumpa anda dalam projek jahitan saya yang akan datang.