Wednesday, December 8, 2010

Syahdunya

Berjalan dan terus berjalan. Sedih ku rasa di pagi ini di saat membaca blog doa buat Alanna. Bayangkan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anak yang amat dikasihinya. Bagaimana kalau Nuh yang saya peluk cium setiap hari itu tiada di sisi saya. Alangkah sunyinya kehidupan saya. Gelak tawa dan senyum tangisnya membuatkan saya sentiasa merinduinya walaupun di mana saya berada. Benar anak itu harta yang paling bernilai. Tapi nilai itu bukan sekadar mencurahkan kasih sayang sahaja tetapi lebih dari itu. Seringkali apabila berbicara soal anak sudah pasti kita mahukan yang terbaik. Tetapi adakah kita sudah bersedia untuk menjadi yang terbaik untuknya.


Kembali kepada persoalan memberikan kasih sayang. Terlintas kembali perbualan antara saya dengan seorang rakan tentang kerisauan dirinya tentang anak-anak masa kini. 
"Risau hati akak bila baca dalam paper ni. Macam-macam yang berlaku. Gejala sosial dan keruntuhan akhlak merata-rata. Ish..susah rasanya nak bendung benda camni. Macam mana la anak-anak kita nanti.."


Nah..itulah rasa gelisah hati seorang ibu dalam membesarkan anak-anak. Sepertimana firman Allah


"Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu adalah fitnah dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar."(Al-Anfal: 28)


Fitnah yang disebut dalam ayat ini merujuk kepada cubaan atau dugaan dan menjauhkan kita dari melakukan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Jujur saya katakan bahawa ia merupakan satu tanggungjawab yang amat berat kerana ia bukan sahaja melibatkan kasih sayang tetapi pengawasan, contoh model terbaik kepada anak-anak, tanggungjawab, disiplin dan lebih dari itu.


"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi". (Al-Munafiqun: 9). 


Jauh di sudut hati saya amat merasa gelisah. Benar kadang-kadang sebagai seorang ibu kita akan terlalu asyik dengan anak-anak. Mengulit dan memanjakan mereka sehingga kadnag-kadang alpa tentang tanggungjawab kepada Nya. saya ambil contoh apa yang berlaku kepada diri saya. Bukan berniat membuka pekung di dada tetapi sebagai pengajaran kepada saya dan juga yang lain.


Rutin harian saya setiap hari apabila pulang kerja adalah mengambil Nuh dari rumah Opah (pengasuh). Ini kerana saya dan En. Hubby ke tempat kerja secara berasingan dan Nuh dihantar olehnya setiap pagi kecuali kes-kes terpencil baru saya akan mengambil alih tugas tersebut. Kebiasaan Nuh setelah pulang dari rumah Opah bergayut dengan saya. Maklumlah setelah seharian ditinggalkan. Ingin melepaskan kerinduannya. Jadi saya akan beri Nuh minum susu dan makan seterusnya aktiviti paling menyeronokkan tidur. Apa yang menjadi masalah ialah kadang-kadang Nuh memerlukan masa yang panjang untuk mengulit dengan saya dan ini menyebabkan waktu maghrib saya menjadi semakin pendek. Untuk meninggalkan Nuh saya menjadi risau kerana dia sedang menyusu dan akan menangis berpanjangan apabila ditinggalkan. Perasaan belas dan kasihan bersatu menjadi satu. Akhirnya solat Maghrib saya hampir-hampir sahaja ke penghujung waktu. 


Astaghfirullah..itu yang mampu saya ucapkan. Beristighfar dan terus memohon keampunanNYA. Walaupun keadaaan ini bukan selalu terjadi tetapi ia membuka ruang dan peluang kepada musuh kita yang sentiasa menunggu saat-saat untuk menjauhkan kita dari melakukan yang terbaik kepada Allah. Jadi bagaimana yang harus kita lakukan. Perasaan serba salah sering menguasai diri apabila ia melibatkan anak-anak. 


Untuk itu, saya mengambil pendekatan untuk menjadikan ia suatu bentuk proses pendidikan dan pentarbiyahan kepada Nuh Shaddad. Apa yang saya lakukan ialah saya letakkan Nuh di sisi saya. Sebelum saya solat saya ucapkan padanya "Umi nak solat. Allahu akbar..." Berulang-ulang kali saya sebutkan perkataan tersebut dan ia saya praktikkan hampir setiap kali saya ingin menunaikan solat. Selain itu, saya juga hamparkan sehelai sejadah lain disisi dan letakkan barang-barang yang boleh menarik perhatian Nuh. Saya terpaksa letakkan barang tersebut untuk elakkan Nuh dari menangis kerana merasakan dirinya tidak dihiraukan dan diendahkan. Namun yang pasti Nuh lebih leka memerhatikan setiap tindak tanduk dan perlakuan saya ketika menunaikan solat.  Mungkin timbul rasa pelik dan hairan melihatkan umminya sedang solat dan tidak menghiraukan bunyi-bunyi yang dikeluarkan untuk menarik perhatian saya. 


Sukanya Nuh bila abi angkat dia lepas solat

Doa saya semoga anak itu kelak akan menjadi anak yang soleh dan hamba yang taat kepada Penciptanya. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis Aisyah r.a:


"Sungguh mereka (anak-anak) dapat menjadikan seseorang kikir dan pengecut, dan mereka juga adalah termasuk dari haruman Allah swt"


Peliharalah anak kita kerana mereka itu umpama kain putih yang akan mencorakkannya adalah kita. Mari kita renungkan bersama.