Monday, August 1, 2011

LITTLE BOY

Tajuk yang pendek tapi entry yang panjang. Saat saya dikurniakan cahaya mata, saya sangat teruja untuk menatapnya.Saya masih ingat saat dan ketika itu. Dia dilahirkan secara pembedahan. Hampir 24 jam lamanya air ketuban saya telah pecah namun tiada tanda-tanda dia menolak keluar. Saya hanya berdoa dan bertawakal kepada Allah. Dari satu wad ke satu wad saya dipindahkan tetapi yang saya alami hanyalah kesakitan akibat diperiksa untuk memastikan pintu rahim saya terbuka mengikut perkiraan yang betul. Tetapi dia masih jua tenang di dalam. Sehinggalah saya hampir terlelap mata, saya merasakan satu tindak balas yang amat sangat. Menangis saya saat itu. Kepada Allah tempat saya bermohon agar dipermudahkan. Zikir mengiringi kesakitan itu. Saya dipindahkan ke wad bersalin. 

Kita merancang Allah jua merancang namun perancangan Allah adalah yang terbaik. Saya yang dijangkakan bersalin normal didapati mempunyai gangguan kecil di bahagian injap jantung di mana terdapat ruang kecil yang terbuka di antara keduanya (Saya akan bercerita tentang ini di entry lain). Keadaan ini menyebabkan Dr menyarankan saya disuntik dengan suntikan epidural bagi mengelakkan saya mengalami kesesakan nafas sewaktu proses kelahiran berlaku. Bagi ibu yang pertama kali bersalin, hal ini amat menakutkan saya. Tambahan pula saya telah mebaca tentang kesan-kesan pengambilan suntikan ini. Lantas saya menolak saranan tersebut. Tapi Dr tidak berputus asa. Berulangkali mendatangi saya memohon agar saya menurunkan tandatangan bagi membolehkan suntikan dibuat. Namun saya degil.Lantas dipanggil Dr Pakar Bius (maaf saya lupa akan namanya). Perlahan-lahan diterangkan semula kepada saya kesan dan akibatnya. Jawapan saya biarlah suami yang membuat keputusan. Bersama dengannya saya membuat keputusan untuk bersetuju. Tapi ia bukan semudah yang saya sangka. Akhirnya mengalir juga air mata ini sewaktu suntikan itu dilakukan. Bukan mudah untuk menjadi seorang ibu. Saat itu saya sedar tanpa mak siapalah kerana mak adalah segalanya. Allah Maha Berkuasa. Saya tersedar dari tidur selepas suntikan diberikan apabila terdengar bunyi bising. Saat itu saya mendapati suami saya tiada di sini. Mungkin ingin mengambil udara panas di luar kerana suhu di dalam 'labour room' pada hemat saya menjangkaui suhu sejuk gigil yang amat sangat. Kasihan saya padanya. Jangankan pendingin hawa di sini, pendingin hawa kereta pun dia alah sekiranya dipasang agak kuat.

Rupanya Dr dan jururawat yang memeriksa mendapati denyutan jantung bayi saya semakin menurun. Dibimbangi anak tersebut mengalami kelemasan dalam perut Dr dengan segeranya mengarahkan saya dibawa ke bilik pembedahan untuk proses bersalin. Dalam hati saya begitu bimbang dan risau kerana saya tidak pernah menjangka bahawa saya akan bersalin melalui proses pembedahan sedangkan selama ini saya sihat dan normal begitu juga dengan bayi. Sekali lagi saya diarahkan untuk menandatangi surat kebenaran pembedahan. Tapi jawapan yang keluar "Tunggu suami saya". Marah benar jururawat tersebut. Nyawa anak lebih penting katanya. Saya tahu tapi saya mahu suami saya bersama dengan saya di saat-saat kritikal itu. Kata misi suami boleh tandatangan di bilik pembedahan. Saya kata tak mahu. Akhirnya disuruh rakan beliau mencari dan memanggil suami saya di luar. Cemas suami apabila mendengar cerita misi. Berat hati tapi apakan daya. Itulah perancangan Allah. Saya akhirnya dibedah dan saya masih terasa ngilunya saat perut saya dibelah dan dikoyak sehingga kini.

7 hari
1 tahun

1 comment:

  1. Hi super little mommy...is not easy to be a mother...but is so easy to be an angry mother......hehehehe.....bukan sakit yang sebenarnya saat saat dibedah...tapi perasaan takut dan ngeri yang lebih......do not worry....if Allah will u still experience it soon for the 2nd time....good luck for junior incoming Nuh......smile(@_@).....

    ReplyDelete